Cerpen : ANUGERAH ILAHI
Oleh :
NURUL FAREHAH JAAMAD
Majalah Sastera.Net edisi 9
SAYA bertemu dengan cikgu lama saya sewaktu saya berada dalam tingkatan lima, Ustazah Rohana namanya yang sedang duduk di kerusi mejanya dalam bilik guru. Ketika itu saya ke sekolah untuk memulangkan buku rujukan yang Ustazah Rohana pinjamankan kepada saya seperti yang saya janjikan kepada Ustazah Rohana bahawa saya akan memulangkan buku tersebut apabila sudah habis peperiksaan . Pelahan-lahan saya membuka pintu bilik guru itu untuk mencari Ustazah Rohana.
“Assalamualaikum, Ustazah Rohana?” Saya mencuim tangannya kemudian mencium pipinya sambil melemparkan senyuman manis kepadanya.
“Waalaikummusalam,” Jawab Ustazah Rohana dengan penuh senyuman di bibirnya. Wajahnya putih,bersih dan tenang sahaja. Ketika itu Ustazah Rohana sedang sibuk menulis markah-markah peperiksaan pelajarnya pada buku rekod pelajar.
“Ustazah sihat? Saya menganggu Ustazah,kah?” Tanya saya yang serba salah apabila melihat Ustazah Rohana sedang sibuk itu.
“Eh....tidaklah. Kamu tidak menganggu. Lagipun saya tidak ada kelas sekarang,” Jawab Ustazah Rohana. Wajahnya tersenyum pahit. Ustazah Rohana seperti sedang memikirkan sesuatu. Ustazah Rohana menjemput saya ke kantin untuk melanjutkan perbualan kami. Perlahan-lahan kami berjalan.
“ Macam mana dengan pelajaran kamu di Universiti?” Tanya Ustazah Rohana yang hanya menundukkan kepalanya ketika berjalan.
“ Alhamdulillah, Ustazah. Semuanya baik,” Jawab saya jujur. Setibanya kami di kantin,kami duduk di kerusi makan. Saya duduk di hadapan Ustazah dan begitu juga Ustazah.
“ Apa yang Ustazah sedang fikirkan? Muka Ustazah seperti orang ada masalah,” Tanya saya. Saya lihat ustazah membelek beg tangannya. Ustazah mengeluarkan wang untuk membeli minuman. “Ustazah mahu ke mana?” Tanya saya lagi. “Sebentar ya, Aishah,” Jawab Ustazah Rohana ringkas. Ustazah Rohana bangun dan terus memesan minuman. Sementara itu, saya hanya memerhatikan suasana sekolah yang sudah sedikit berubah. Beberapa minit kemudian Ustazah Rohana kembali ke tempat duduknya.
“Memandangkan kamu salah seorang pelajar yang cemerlang dan menghormati semua guru sewaktu kamu belajar di sekolah ini, saya mahu berkongsi pengalaman dengan kamu. Lagipun kamu bakal menjadi seorang guru, bukan?” Ustazah Rohana menghirup milo panas itu sebaik sahaja Mak Cik kantin menghantar minuman itu. Satu untuk Ustazah,satu untuk saya. Ustazah masih ingat minuman kesukaan saya iaitu teh
O panas. Ustazah Rohana memandang mata saya dan memulakan ceritanya.
Saya memanggil nama mereka. Seorang demi seorang tampil ke hadapan untuk mengambil kertas peperiksaan mereka. Saya lihat, ada yang menunjukkan wajah biasa sahaja dan ada yang gembira dan ada juga yang kecewa. Ada yang mengucapkan “Terima kasih” dan ada juga yang hanya mendiamkan diri.
Hati saya tidak gembira. Terkadang saya rasa mahu menanggis sahaja. Markah pelajar hanya cukup-cukup markah sahaja. Tidak ramai yang lulus.kelulusan mereka dalam mata pelajaran Agama Islam itu tidak boleh dibanggakan sangat. Dakwat pen merah saya hampir kehabisan berbanding pen biru saya. Hati saya semakin takut dan risau apabila melihat markah-markah mereka.
Pelajar-pelajar yang sedang asyik berbual sesama mereka saya biarkan sahaja. Suara saya bagaikan tidak terkeluar. Saya kaku dan saya hanya melayan perasaan jiwa yang sedang menebal di dalam dada saya. 'Ya Allah, kuatkanlah iman ini dari kemarahan yang menebal di hati ini. Sesungguhnya hambaMU ini tidak sanggup memarahi anak-anak ini. HambaMu inilah yang menjadi pemimpin untuk membentuk mereka ke jalanMu. Bantulah hamba,' Bisik hati saya.
Pelajar-pelajar membetulkan duduk apabila saya selesai memberi kertas dan markah peperiksaan mereka. Saya bangun saya melihat wajah-wajah muda di hadapan saya. Raut wajah mereka masih elok.
“Berapa umur kamu sekarang?” Saya menyoal pelajar tingkatan dua sambil memandang seorang demi seorang. Ada yang memandang lantai dan ada yang tersenyum memandang saya.
“Empat belas tahun, Ustazah,” Balas mereka serentak.
“Antara saya dengan kamu semua, siapakah yang lebih mulia?” Tanya saya lagi.
“Tentulah Ustazah. Ustazah mengajar kami semua perkara-perkara yang baik dan mengajar kami menghafal ayat-ayat suci Al-Quran,” Jawab Shafiq yang sedang duduk di hadapan sekali. Kawan-kawannya mengangguk tanda setuju.
“kalau saya kata kamu lebih mulia dari saya, bagaimana?” Saya menyoal mereka lagi. Masing-masing memandang sesama mereka. Mereka agak keliru. Namun, saya hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Anak-anak murid kesayangan saya itu. Saya merupakan guru tingkatan dalam kelas itu mula risau dan bimbang dengan prestasi pelajaran mereka. Saya sebagai seorang guru turut gementar apabila mereka menghadapi perperiksaan, inikan pula mereka.
“Takkanlah kamu semua lebih mulia dari Ustazah,” Jawab seorang pelajar perempuan yang manis wajahnya,Aina namanya. Saya memandangnya dan tersenyum. Saya kembali duduk di kerusi di hadapan setelah penat berjalan. Saya duduk sebentar. Suasana dalam kelas itu sunyi sahaja. Hanya kedengaran bunyi bayu semulajadi ciptaan Ilahi yang masuk di celah-celah jendela.
“Ustazah...ceritalah kenapa Ustazah kata kami semua lebih mulia dari Ustazah,” Desak Syafiqah dan tiga pelajar lain. Mereka seakan mahu mengetahui perkara selanjutnya. Semua pelajar menumpukan perhatian kepada saya.
“Begini. Lihat sahaja usia kamu dan usia saya. Siapakah yang lebih muda? Dan Siapakah yang tua? Jika di hitung dosa kamu dengan saya, tentulah saya lebih banyak dosa kerana saya lebih lama hidup berbanding kamu,” Panjang lebar ulasan saya itu.
“Begitu ya,Ustazah. Baru saya tahu,” Sampuk Lokman. “Jadi kamu semua faham?” Tanya saya lagi. “Faham...Ustazah...” Balas mereka serentak.Semua pelajar kelihatan mengerti dengan apa yang saya maksudkan itu.
“Sekarang saya mahu semua pelajar tutup mata,” Saya mengarahkan mereka untuk tujuan menguji sekali lagi. Ada yang menuruti dan ada yang banyak bertanya. Namun saya meminta mereka menutup mata sebentar. “ Saya mahu bertanya, siapa di antara kamu yang tidak solat subuh hari ini, sila angkat tangan tetapi mata jangan dibuka,” Saya tiba-tiba bersikap tegas.
Bayangkanlah hampir semua pelajar mengangkat tangan. Hanya dua tiga pelajar sahaja yang tidak mengangkat tangan. Betapa luluhnya hati saya. Saya dikelilingi tangan-tangan yang tegak terangkat. Hanya saya dan Tuhan sahaja yang tahu. “Baiklah kamu boleh turun tangan dan membuka mata,” Suara saya pelahan-lahan. Jantung saya semakin berdegup kenyang.
“Em...Syafiq! Kamu tahu siapa yang mengangkat tangan tadi?” Saya menyoal Syafiq yang merupakan salah seorang pelajar yang tidak mengangkat tangan. Sambil itu saya berulang-alik ke depan dan ke belakang. “Manalah saya tahu, Ustazah. Lagipun mata saya tertutup. saya rasa Ustazah lebih tahu,” Jawab Syafiq sambil tersengih-sengih.
“Kamu seorang yang jujur. Tahu kenapa?” Saya memuji Syafiq. “Tak tahu. Kenapa Ustazah kata begitu?” Jawab Syafiq ingin tahu. Pelajar lain hanya memerhatikan perbualan saya dengan Syafiq. Saya sengaja mengambil perhatian Syafiq supaya pelajar lain cemburu melihat kami mesra. “Kerana kamu tutup mata dan tidak curi-curi buka mata,” Puji saya.
“Ustazah...saya juga tidak tahu,” Sampuk salah seorang pelajar. “Saya juga,” Sampuk dua tiga pelajar lagi. Lama-kelamaan mereka berpakat untuk mengatakan bahawa mereka tidak tahu. 'Nampakknya mereka ini menunjukkan respons yang baik. Ini peluang saya untuk menyedarkan mereka,' Bisik hati saya.
“Beginilah anak-anakku sekalian. Memang benar kamu semua tidak tahu siapa yang tidak solat subuh hari ini. Walaupun saya tahu siapa yang tidak menunaikan solat subuh pada hari ini, tetapi di atas sana lebih mengetahui setiap apa yang kita lakukan. Walaupun kamu bersembunyi di balik pintu juga DIA lebih mengetahui. Tuhan itu Maha Melihat Lagi Maha Mendengar,” Ujar saya lebar. Saya lihat wajah masing-masing pucat dan takut.
“Jangan biarkan usia muda kamu dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Sesungguhnya masa itu penting. Kamu harus bijak mengunakan masa dengan betul. Kamu harus menghormati orang tua, kawan-kawan dan guru-guru, juga tidak lupa perintah Allah SWT dan jauhi segala laranganNya. InsyaAllah, kamu akan menjadi seorang umat islam yang soleh dan solehah. Tidak lupa juga untuk berdoa agar kesejahteraan kamu di dunia dan akhirat. Berbuatlah amalan sebagai bekalan kamu di sana kelak. Hanya kamu sahaja yang layak mengubah diri kamu.Bukan saya,faham?” Saya menasihati mereka. Semua pelajar terdiam. Ada juga yang menitiskan air mata. Namun saya mengerti.
“ Saya lihat markah-markah kamu dalam mata pelajaran; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik ,Sains dan lain-lain semuanya mendapat markah yang bagus dan cemerlang. Tahniah saya ucapkan. Tetapi saya pelik, mengapa markah kamu dalam mata pelajaran Agama Islam kurang memuaskan? Adakah saya bukan seorang guru yang bagus? Kamu semua bosan dengan cara saya mengajar kamu semua? “ Bertalu-talu saya menyoal mereka.
“Tidak....Ustazah seorang guru yang baik dan mengajar kami dengan bagus sekali,” Jawab Aina.
“Kalau begitu, mengapa markah kamu begitu?” Tanya saya lagi. Kali ini saya benar-benar ingin berbincang dengan mereka. Saya ingin tahu apa masalah mereka sebenarnya.
“Ustazah..biarlah saya wakil dari semua pelajar dalam kelas ini. Memandangkan saya ketua tingkatan. Saya mahu luahkan perasaan saya. Walaupun keputusan saya memuaskan tetapi saya tidak mahu menjadi sombong dengan markah itu. Sebenarnya kami semua yang salah. Kami menganggap mata pelajaran Agama islam adalah mudah. Jadi kami kurang memberi perhatian. Kami memohon maaf. Kami berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh,” Ujar Syafiq serius. Wajahnya pucat. “Betul tu Ustazah....,” Sampuk semua pelajar dalam kelas itu. Mereka semua bersetuju dengan pengakuan Syafiq .
“Tidak usah kamu meminta maaf kepada saya. Ini masa depan kamu. Bukan masa depan saya. Bolehkan kamu buktikan kepada saya?” Tanya saya bagi menyakinkan mereka.
“Percayalah Ustazah, kami akan berusaha bersungguh-sungguh,” Balas semua pelajar. Saya hanya tersenyum memandang gelagat mereka yang baru hendak memasang niat untuk belajar bersungguh-sungguh. Tetapi itu sudah cukup melegakan hati saya.
“Kamu beruntung kerana kamu masih banyak masa lagi. Oleh itu, gunakan masa dengan sebaiknya. Lagi satu, kamu mesti seimbangkan semua mata pelajaran yang kamu pelajari. Barulah keputusan kamu cemerlang. Mesti rajin mengulangkaji pelajaran,” Saya menghurai panjang lebar.
“Baik Ustazah...,” Balas semua pelajar serentak. Mereka semua menunjukkan wajah yang ceria. Mereka tentu mengerti apa harapan saya terhadap mereka semua. Saya juga merasa lega kerana sudah menasihati mereka tetapi tugas saya sebagai seorang pemimpin untuk mendidik mereka masih belum berakhir. Masih jauh perjalanan saya untuk membawa mereka ke jalan yang benar.
Air minuman kami sudah sejuk. Minuman kami semakin habis. Saya terharu mendengar cerita Ustazah Rohana mengenai gelagat semua pelajarnya itu. Saya benar-benar terharu dengan cara Ustazah Rohana menasihati mereka. Ustazah Rohana memang suka menasihati semua pelajar-pelajarnya terutama saya yang merupakan anak murid kesayangannya.Saya jadikan cerita itu sebagai pengalaman hidup untuk menjadi seorang guru kelak. Tanpa berlengah saya terus memberikan buku rujukan itu kepada Ustazah Rohana. Terasa segan apabila Ustazah Rohana membayar minuman saya itu. Pada mulanya saya enggan tetapi saya mula akur apabila Ustazah Rohana mengatakan bahawa sekali-sekala sahaja. Saya sempat mengucapkan terima kasih kepada Ustazah Rohana. Kemudian kami beredar dari situ.
0 Idea Kreatif:
Catat Ulasan
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Terima kasih kepada anda kerana sudi memberi komen, cadangan dan kata-kata semangat. Semoga jalinan ini sama-sama kita hargai dan manfaatkannya. InsyaAllah. Silalah catat ulasan anda dibawah ini dengan senyuman. ^____^
( MOHON GUNAKAN BAHASA MELAYU SEPENUHNYA DI SINI )