Judul : Kerana Simpati Itu
Oleh : NURUL FAREHAH JAAMAD
Media : Berita Minggu, Ahad, 10 April 2011
KEDAI makan Seafood Musaiha memang terkenal dengan hidangannya yang cukup enak dan lazat. Sebab itulah ramai pelanggan singgah di situ. Tidak kiralah yang datang menjamu selera bersama keluarga, seorang diri, kawan-kawan atau saudara-mara tetap kedai itu menjadi pilihan. Lebih-lebih lagi pada malam minggu, kedai makan itu akan dibanjiri oleh ramai pelanggan dari terdiri daripada Melayu, India dan Cina.
Pesan saja apa yang tekak terasa hendak makan, kedai makan itu tidak pernah mengecewakan pelanggannya. Makanan akan segera sampai ke atas meja makan, itulah salah satu yang membuatkan mereka tertarik dengan perkhidmatan di kedai makan itu.
Sebelah sudut membuat roti canai dan membakar satay, terdapat seorang lelaki berbadan kurus, berkulit cerah dan berambut panjang sedang mendendangkan lagu-lagu keroncong untuk para pelanggan menikmati hidangan sambil mendengar alunan muzik.
Di atas setiap meja makan diletakkan sebatang lilin yang berada di dalam cawan. Suasana di situ tampak lebih romantik dan menenangkan jiwa dan fikiran. Bukan satu dua lagu yang dimainkan oleh lelaki itu tetapi lebih dari sepuluh lagu untuk satu hari. Memang berbaloi makan di kedai itu.
Penghantar makanan mundar-mandir menghantar makanan dan ada juga yang ingin mengambil pesanan daripada pelanggan. Sampaikan pemilik kedai itu, Encik Mustaffa dan isterinya, Aisha terpaksa meminta pelanggan yang sudah habis menjamu selera segera bangun untuk memberi pelanggan lain duduk pula. Hendak diikutkan pasangan suami isteri itu memang tidak sanggup berkata begitu, tetapi disebabkan sambutan yang mengalakkkan dan tidak mahu mengecewakan pelanggan, layanan yang baik harus adil untuk diberikan kepada setiap pelanggan.
“Pergi sana! Jangan ganggu kami sekeluarga nak makan! Pergi!” tengking seorang lelaki lewat 40-an memarahi seorang lelaki muda yang buta dan ditemani oleh seorang perempuan. Kelihatan si buta memegang tongkat dan beberapa bungkus tisu dan kalendar kecil.
Sesiapa sahaja yang memberi wang kepada si buta, akan mendapat tisu atau kalendar sebagai tanda terima kasihnya. Tetapi tidak ramai yang mengambilnya. Cukuplah dengan memberi wang kepadanya asalkan tidak menganggu masa makan mereka sudahlah.
Seorang perempuan yang baru sahaja hendak memasukkan nasi ke dalam mulutnya selepas membaca doa makan tiba-tiba tersentak mendengar suara kasar lelaki itu. Sesetengah pelanggan memandang mereka. Kemudian mereka kembali menyambung baki makanan yang masih belum habis lagi.
Huda, seorang pelajar kolej bersama temannya, Yasmin memerhatikan gelagat si buta dan lelaki yang memarahinya tadi.
“Pergi sana! Pergi!” ujar lelaki itu dengan gayanya yang benar-benar membenci.
Si buta menunjukkan muka simpati. Kemudian dia berjalan menuju ke meja sebelah. Begitulah yang dia lakukan sehinggalah sampai ke meja di mana tempat Huda menikmati selera di kedai itu.
“Selamat malam. Kasihanilah saya,” rayu si buta itu. Perempuan yang berada di sebelahnya hanya memerhatikan Huda dan Yasmin. Matanya tepat ke arah makanan yang mereka pesan sebentar tadi di mana makanan yang masih belum sempat mereka jamu lagi.
“Selamat malam. Nah, ambil ini,” ujar Huda sambil menghulurkan wang ke tangan si buta itu.
“Terima kasih, dik,” ucap perempuan yang berada di sebelah si buta itu sambil tersenyum.
Mata Yasmin bulat memandang wang ditangan si buta. “ Banyak sangat awak bagi tu,” leter Yasmin. Dipegangnya sudu di sebelah kanan dan garfu di sebelah kiri untuk memulakan makan malamnya.
“Mana ada banyak. Sepuluh ringgit saja,” Huda membela diri sambil tersenyum.
“Bagi seringgit pun dah cukup. Tak payah lebih-lebih,” ujar Yasmin dengan mukanya yang selamba.
“Ish, tak baiklah cakap macam tu. Cuba awak tengok lelaki buta tu, kesian dia. Kita yang berupaya ni mesti bantu orang yang macam tu.” Ujar Huda untuk meyakinkan kawannya itu.
Namun, hujahnya itu belum tentu dapat melembutkan fikiran Yasmin mentah-mentah. “Awak ni degillah,” Yasmin hanya mengeleng kepala. Dimasukkan mi sup kegemarannya ke dalam mulut. Kehangatan mi sup itu membuatkan dia mahu menikmati kelazatan makanan itu sepuasnya.
Mata Huda tidak lekang dari memandang si buta itu. Mereka berjalan di tepi jalan raya menuju ke kedai makan yang tidak jauh beberapa batu sahaja dari kedai makan itu. Lama-kelamaan kelibat mereka hilang dari pandangan sedikit demi sedikit.
“Makanlah nasi ayam tu nanti dah sejuk tak sedap pula,” sindir Yasmin sambil menghirup kuah mi sup itu. Sudah hampir separuh baki makanannya yang tinggal tetapi Huda baru hendak menikmati makanannya.
“Tak baik Pak Cik tu marah-marah lelaki buta tadi. Bukankah kita hidup mesti saling tolong-menolong. Yang senang bantu yang susah. Bukankah begitu?” Huda menyuarakan rasa simpatinya disamping rasa marahnya kepada lelaki itu.
“Tak habis-habis lagi ke dengan lelaki buta tu?” Yasmin agak kebosanan dengan Huda.
“Awak tak rasa simpati dengan lelaki buta tu?” soal Huda beria-ria.
Yasmin hanya mengeleng kepala. Sepatah pun dia tidak bersuara. Lidahnya kelu. Matanya tidak sedikitpun memandang Huda.
Beberapa minggu kemudian, ayah Huda membawanya sekeluarga pergi makan di sebuah kedai di pekan. Kata kenalan ayahnya , kedai itu terkenal dengan makanan laut yang segar-segar. Ayah Huda tidak mahu melepaskan peluang menikmati makanan di kedai itu.
“Pergi! Pergi! Pergi!” pekik seorang pemuda berusia awal 20-an kepada seorang lelaki buta bersama seorang perempuan.
Mata Huda mencari-cari arah suara yang memekik tadi. Itupun dia! Meja nombor 7. “Awak?” fikir Huda dalam hati. Itulah pemuda yang dia jumpa di kedai makan minggu lepas.
Tanpa berfikir panjang, Huda bangun dan melangkah panjang menuju ke meja 7. Tanpa memberi salam, Huda bersuara, “ Cukup! Jangan hina dia lagi. Kalau awak tak mahu menderma janganlah sampai menghina dia. Kesian dia. Saudara dah besar panjang. Boleh berfikir, bukan?”
Pemuda itu mengengam tangannya. Dilepaskan juga lelaki buta itu. Sengaja dia diam kerana tidak mahu membesarkan cerita di situ . Lagi pula di tempat awam tidak elok kalau bersikap kurang ajar.
“Ambil wang ini. Pedulikan dia.” Huda memberikan wang dua kali ganda daripada wang pertama yang diberikan kepada lelaki buta itu sambil menyuruh mereka beredar dari situ.
Rasa simpati Huda terhadap lelaki buta itu semakin bertambah-tambah. Bagaimana ada segelintir masyarakat yang sanggup menghinanya sedangkan dia sangat sedih melihat keadaan seorang insan yang hidupnya buta. Adilkah untuk lelaki buta itu menerima layanan sebegitu rupa?
Tiga hari selepas itu, entah kenapa Huda berasa keberatan untuk pulang awal selepas habis kelas pada tengahari itu. Huda bercadang untuk singgah di sebuah warung memandangkan perutnya sudah lapar.
Tiba-tiba Huda di sapa oleh seseorang dari belakang, “Selamat Tengahari. Menderma dengan ikhlas.”
Huda menoleh ke belakang. “Awak?” kata-kata itu terkeluar dari mulut Huda. Huda bergamam. Tidak sangka dia bertemu lagi dengan lelaki buta itu . Perempuan itu tersenyum sinis. Seperti biasa Huda memberikan wang sebanyak RM10 ringgit.
“Ambillah tisu dan kalendar ini,” ujar perempuan yang memimpin lelaki buta itu.
“Tak apa. Saya ikhlas,” ujar Huda sambil tersenyum.
Mereka berlalu pergi. Usai menghabiskan hidangan makanan berlauk di warung itu, Huda segera menuju ke kereta kancil berwarna putih. Dalam perjalanan, Huda ternampak beberapa anggota polis sedang mengurungi sebuah teksi di tepi pokok.
Huda memberi signal ke kiri lalu mematikan enjin kereta. Kemudian dia keluar dan berlari anak ke arah kejadian itu. Tiba sahaja di tempat itu, Huda melihat sebuah teksi yang disyaki melakukan kerja haram.
Pandangan Huda terhalang dek beberapa tubuh anggota polis yang gagah-gagah belaka. Huda tidak pernah berminat hendak mengambil tahu akan hal-hal begitu sebelum ini.
“Awak ditahan kerana memandu teksi ini untuk membawa dan mengambil mereka berdua ini ke tempat-tempat tertentu bagi tujuan menipu mangsa,” ujar seorang anggota polis yang berpangkat besar itu. Seorang anggota polis membawa seorang lelaki berusia awal 50-an masuk ke dalam kereta polis.
“Awak diminta mengikut kami ke balai atas kes menyamar sebagai orang buta dan awak kerana bersubahat untuk meminta wang kepada orang ramai,” arah polis itu lagi.
Dua orang anggota polis membawa seorang lelaki yang menyamar menjadi buta dan seorang perempuan masuk ke dalam kereta polis. Beberapa polis yang lain sedang sibuk mencatat dan mengambil bahan bukti yang lain di dalam kawasan teksi itu.
“Itulah awak. Zaman sekarang jangan mudah percaya dengan orang. Sekarang ramai orang tak jujur. Wang takkan datang kalau bukan dengan hasil titik peluh sendiri. Kalau ada pun datangnya dari hasil yang tidak halal tak ada gunanya pun,” bebel Yasmin apabila Huda menceritakan perkara yang dia lihat tadi.
Yasmin mengeleng kepala dan berlalu meninggalkan Huda yang terpinga-pinga memikirkan dirinya rasa ditipu mentah-mentah.
-TAMAT-
2 Idea Kreatif:
menarik....suka lah. baca sepintas lalu sb kpala sgt pening..
CintaZulaikha, terima kasih kerana sudi membaca karya cerpen saya. Semoga pening awak itu lekas sembuh ya. ^_^
Catat Ulasan
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Terima kasih kepada anda kerana sudi memberi komen, cadangan dan kata-kata semangat. Semoga jalinan ini sama-sama kita hargai dan manfaatkannya. InsyaAllah. Silalah catat ulasan anda dibawah ini dengan senyuman. ^____^
( MOHON GUNAKAN BAHASA MELAYU SEPENUHNYA DI SINI )