 |
Tanda ikatan sejati cinta ini... |
Sabtu, 17/12/2011 - BERMULA jam 2.00 pagi sehinggalah jam 5.00 pagi, saya terasa dihimpit keresahan. Menanggung debaran yang penuh bermakna dalam hidup saya pada tarikh ini, 17/12/2011. Mungkin juga kerana terlalu gementar menunggu majlis pertunangan saya berlangsung. Padahal ini majlis bertunang saja. Saat itu jantung saya berdegup kencang. Saya gelisah dan resah. Tidak tahu mengapa. Ikatan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Bertunang bererti sudah sebahagian melangkah ke alam perkahwinan. Saya bertunang, bermakna saya bersedia memikul segala tangungjawab. Saya tatap wajah ibu. Ibu sudah nyenyak tidur. Saya tahu pagi nanti ibu akan bangun dan sibuk menyiapkan majlis saya. Ibu pasti penat nanti. Salah satu keresahan itu adalah terasa dalam hati ini, tanggisan yang hadir. Tangisan yang lama saya idamkan. Sekejap sahaja lagi saya akan bertunang. Bermakna beberapa bulan, tahun ( insyaAllah ) saja lagi saya akan berkahwin dan menjadi isteri orang. Segala tangungjawab ibu menjaga saya sebagai anak selama ini akan diberikan kepada bakal suami tidak lama lagi.
Kasih dan cinta saya mendalam untuk ibu dan arwah ayah. Ibu gembira melihat saya akan berkahwin tidak lama lagi.
"Lepas ni akak dah kahwin. Jaga suami baik-baik."
Ya, saya amat terharu dengan kata-kata itu. Saya faham perasaan ibu. Ibu seakan tidak mahu melepaskan saya. 21 tahun saya duduk bersama ibu dan keluarga. Tidak pernah sekalipun saya tidak menegur ibu. Terkadang perasaan rindu mula hadir bila sedang tidur. Tika itu saya bangun dan pergi melihat ibu di kamarnya. Saya suka melihat wajah ibu. Saya suka. Sehari tidak melihat wajahnya, saya terasa diri ini serba salah dan ada kurangnya.
Seawal pagi itu bangunlah saya menjalankan tangungjawab sebagai umat islam. Begitu juga ibu. Ibu bersiap-siap pergi ke pasar bersama abang dan adik lelaki saya. Hantaran di atas katil saya hias cantik-cantik. Tema emas menjadi warna pilihan saya. Rata-rata semua persiapan hantaran saya buat sendiri. Saya akui, saya amat menyayangi usaha menyiapkannya. Saya amat menghargai semua ini.
Lama kelamaan, saudara-mara saya pula datang. Mak saudara sibuk membantu ibu di dapur. Adik, kakak saudara, anak buah dan anak saudara pula duduk di dalam bilik saya melihat saya sudah siap berdandan. Ada yang tidak jemu-jemu melihat hantaran.
Melihat ibu yang acap kali masuk melihat keadaan saya di dalam bilik menyedarkan saya betapa ibu amat menghargai saya. Betapa ibu amat risau tentang saya. Saya tidak kisah walau ada yang memuji saya cantik pada hari itu. Namun bukan itu yang saya mahukan. Cukuplah majlis itu berjalan lancar dan diberkati oleh-Nya.
Boleh dikatakan lebih dari tiga kali si dia menelefon saya bertanyakan khabar di sini. Debar yang dirasakan kami kongsi bersama. Namun, kami harus membuang debaran itu. Kami perlu banyakkan bersabar dan bertenang kerana ini hal yang baik. Alhamdulillah. Setelah bacaan marhaban selesai, pihak rombongan lelaki tiba. Saya diberitahu bahawa rombongan mereka telah tiba. Saat itu tahap debaran saya yang tadinya mula turun kini kembali memuncak laju.
Saya sudah selamat ditunangkan oleh pihak keluarga saya dan keluarga si dia dengan bersaksikan para saudara-mara yang ramai. Alhamdulillah. Bakal mak mertua dan ibu mengucup pipi saya. Saya rasakan saya direstui.
Saya gembira melihat sanak saudara saling bertegur sapa. Saling bantu membantu. Saya genbira melihat mereka selesa dengan majlis saya. Sebagai ucapan terima kasih, saya berikan dan agih-agihkan hantaran yang diberikan kepada pihak lelaki kepada semua sanak saudara. Itu saja yang mampu saya balas. InsyaAllah, segala jasa mereka tuhan akan balas kelak.
Ayah
Saya benar-benar rindukan ayah. Ketika cincin selamat disarungkan, saya terbayangkan wajah arwah ayah. Saya cipta sendiri bayangan kewujudan ayah. Seolah-olah ayah ada di hadapan saya dan tersenyum melihat saya. Saya bayangkan ayah berkata, 'Selamat bertunang, anak ayah," Biarpun sekadar bayangan, saya mahu bayangkan juga. Saya mahu. Saya curi pandang wajah ibu dalam kegembiraan dikekelilingi sanak saudara. Ibu senyum dan senyum. Saya mahu peluk ibu. Peluk ibu sama seperti memeluk ayah juga. Saya rindukan pelukan ayah. Terakhir kali memeluk ayah saat ayah sedang nazak. Hati saya terdetik memandang wajah bapa saudara yang mirip wajah ayah. Saya lepaskan kerinduan itu walaupun tidak banyak. Memadai dengan memandang wajah yang mirip wajah arwah ayah.
Si Dia
Kamu insan yang paling baik pernah saya temui. Kamu amat sempurna bagi saya. Kamu amat memahami perasaan saya. Terkadang sikap kamu yang amat tulus dan ikhlas itu menjadikan saya insan yang lebih baik. Ya, walaupun saya baik. Saya mahu jadi lebih baik. Saya benar-benar rasa dihargai. Tidak sekalipun saya diabaikan oleh kamu. Kamu memahami kerjaya saya sebagai seorang rakan, kekasih, penulis dan sekarang seorang tunang. Saya bukan memuji kamu. Jadi, saya tidak mahu kamu perasan. Namun, saya tahu kamu bukan jenis orang yang sebegitu. Kamu tidak termakan dengan pujian orang. Malah, kamu sering berasa diri kamu banyak kekurangan walau kamu memang seorang yang hebat. 'Yang terbaik' saya tidak pernah lupa itu. Kamu mahu jadi yang terbaik untuk hubungan ini. Begitu juga saya. Saya tidak kuat tanpa nasihat kamu saat saya kehilangan ayah. Saya lemah dengan pemergian ayah. Saya abaikan semua tentang diri saya saat ayah pergi. Tetapi kamu tetap disisi saya.
Saya masih tidak mengerti ; saya cuba berlari. Namun, mengapa tanggisan masih mengejar saya tiap kali saya rebah dengan setiap kisah pilu?
Diri
Saya cintakanMu. Saya kasihMu. Engkau sentiasa bersama saya walau di mana jua. Sampaikan salam rindu teramat amat amat amat amat amat amat saya kepada seorang hambamu yang bernama Jaamad bin Sahnan.
Saat ini saya tidak mampu lagi menyimpan perasaan ini. Saya gembira atas ikatan ini. Namun, saya lebih gembira jika arwah ayah ada bersama kami sekeluarga menikmati hari bahagia ini. Namun, saya mengerti. Ayah pasti tersenyum di sana. Dan saya membayangkannya sendiri.
Ya Tuhan, saya rindukan dia. Hadirlah dia dalam mimpi saya yang berterusan seperti selalu. Apa jua keadaan, saya tetap menerima takdir ini. Takdir yang telah Engkau janjikan ; mengambil ayahku.
Dan saya akui, sungguh terharu pabila bicara soal ini. Saya menangis.
0 Idea Kreatif:
Catat Ulasan
Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Terima kasih kepada anda kerana sudi memberi komen, cadangan dan kata-kata semangat. Semoga jalinan ini sama-sama kita hargai dan manfaatkannya. InsyaAllah. Silalah catat ulasan anda dibawah ini dengan senyuman. ^____^
( MOHON GUNAKAN BAHASA MELAYU SEPENUHNYA DI SINI )